Ayda, Radin mengakui selesa berkawan rapat


Sukar sebenarnya usaha menggandingkan mereka ini. Menolak pada awalnya, namun dek termakan pujuk dan rayu, kedua-dua mereka bersedia untuk tampil sebagai penyeri wajah depan HITS sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kekangan waktu membataskan kami untuk berbicara dengan lebih lama. Namun hampir tiga jam cuba mengorek cerita, kedua-duanya kekal santai dan tidak kekok berhadapan dengan kamera.

Biarpun Radin Amir Affendy pada mulanya agak malu-malu apabila disuruh untuk bergambar, ternyata Ayda Jebat tidak lelah membantunya. Ada sahaja keletah si gadis kecil molek itu yang mencuit hati Radin.

Sekiranya dinilai dengan mata kasar, terserlah kasih dan cinta antara kedua-dua mereka. Baik dari renung mata Radin mahupun suara manja Ayda yang tidak putus-putus menyakat lelaki berusia 26 itu.

Malah, sekali-sekala penyampai radio Era yang semakin mendapat tempat pada hati peminat itu juga boleh tahan gurauannya. Tergelak besar pelakon kecil molek itu disakat teman tapi mesranya itu.

Kemesraan antara mereka seakan membicarakan ada kasih yang tersimpul. Cuma tafsirannya mungkin berbeza pada mata kasar. Hanya teman rapat seperti yang dikatakan mereka atau lebih daripada itu.

Namun pastinya, mereka merupakan artis yang sangat mudah untuk bekerjasama. Tanya sahaja apa soalan, tiada langsung riak jelik pada wajah mereka. Malah, sepanjang sesi temu ramah, hanya gelak tawa yang menemani.

Kemesraan mereka pastinya mengundang pelbagai persoalan. Malah, acap kali mereka ditanya soalan yang sama tetang status hubungan mereka. Jika bercinta, katakan sahaja baru senang cerita.

Namun, tatkala soalan cepumas itu ditanya, kedua-duanya pantas menggelengkan kepala. Mengakui selesa berdua hanya sebagai kawan, Radin mahupun Ayda kekal tidak mahu terlalu terburu-buru dalam menjalinkan hubungan.

Bagi Radin sendiri, hubungan mereka berdua sering kali mengundang persepsi negatif terhadap dirinya. Dikatakan menumpang populariti penyanyi Siapa Diriku ini, Radin pantas menafikannya.

Malah, tatkala soalan itu ditanya, Ayda langsung beralih daripada mendengar jawapan Radin. Mungkin penyanyi genit itu kurang selesa mendengar bicara seorang lelaki tentang dirinya.

Hubungan mereka hanya sebagai kawan yang rapat. Itu penjelasan Radin. Mereka berkenalan atas dasar persahabatan. Tidak mahu memberikan bayangan masa depan terhadap hubungan itu, Radin kekal berahsia.

“Saya tahu ramai yang kurang suka melihat saya rapat dengan Ayda. Mereka kata saya tumpang populariti, apalah. Bagi saya semua itu hanyalah omong-omong kosong yang masuk telinga kiri, keluar telinga kanan sahaja.

“Bidang kami ternyata berbeza dan mungkin kerana Ayda selesa, saya sering dijemput untuk mengacarakan majlisnya. Itu sahaja, kalau kata kami bercinta itu, tidak. Cuma berkawan rapat, ya,” jelas Radin.

Bagi Ayda, dia selagi boleh tidak mahu membicarakan tentang cinta. Perjalanan seninya masih jauh dan cukuplah sekali dia pernah terlalu terbuka tentang cinta. Kali ini, dia mahu kunci mulut dan biar masa berbicara.

Malah, keterujaannya bertambah ke tahap maksimum apabila ditanya tentang perkembangan kerjayanya. Masakan tidak, video muzik Pencuri Hati yang dikeluarkan hujung bulan lepas sudah berjaya mendapat jutaan penonton.

“Alhamdulillah, video muzik itu adalah hadiah saya kepada peminat. Mungkin saya tidak mampu untuk memberi intan permata segunung tingginya. Cuma setiap babak dalam video itu merupakan penghargaan saya kepada mereka.

“Peminatlah nadi seni saya. Tanpa mereka saya tidak akan berdiri kukuh di landasan industri seni ini. Saya cukup berterima kasih di atas sokongan tanpa lelah dan tidak pernah mengharapkan balasan,” katanya.

Redup matanya jelas membuktikan betapa pelakon Assalamualaikum Cinta ini sayang kepada peminatnya. Terpancar sinar terharu dan berterima kasih tatkala berbicara tentang keutuhan sokongan peminatnya.

Mana mungkin namanya kukuh harungi gelora ombak seni yang membadai tanpa tegak utuh tulang-tulang belakang bernama peminat. Setaip langkahnya disertakan dengan sorakan semangat dari kuasa cinta hatinya itu.

Tidak dibenar masuk dapur!

Memulakan bicara tentang, penyanyi Pencuri Hati itu lantas menceritakan kenangan terindah tatkala menyambut Aidilfitri. Biarpun agak payah untuk dia mengorek kembali memori, namun ada satu yang dekat dengan hati tatkala menyambut hari kemenangan itu.

Setiap kali raya, bukan baju raya atau kuih muih mahupun duit raya menjadi keutamaan. Cuma pelakon yang meningkat naik dengan drama Rindu Awak 200% ini bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama keluarga setiap kali lebaran.

“Apa yang paling seronok ketika raya ya? Bagi saya, dapat berkumpul bersama keluarga. Biarpun cuti kadang-kadang singkat tetapi empat hingga lima hari itu cukup bermakna buat saya.

“Biarpun tempohnya singkat, tapi penuh kasih sayang. Saya jarang dapat bertemu keluarga di Melaka lantaran tuntutan tugas yang sangat membataskan waktu. Itu lagi menambahkan rindu kepada mereka,” jelas penyanyi ini.

Namun, sebenarnya ramai yang tidak tahu Ayda sebenarnya ‘diharamkan’ untuk menjejakkan kaki ke dapur. Malah, sekiranya ada ura-ura untuk dia cuba memasak, pasti gempita rumah dek tempik ibunya yang melarang.

Bukan hanya tidak reti memasak, malah setiap kali dia membuat kemunculan di dapur, pasti huru-hara dikerjakannya. Oleh sebab itu, ibunya melarang Ayda untuk memasak sama sekali.

“Ada dua kenangan saya cuba memasak. Pertama ketika itu adik saya mengadu lapar, jadi saya ini hendak tunjuk pandai masak tom yam. Tapi orang lain guna pati, saya guna mi segera punya perencah untuk masak tom yam!

“Malah, pernah sekali adik saya bising katanya tiada makanan, jadi saya masuk dapur dan cuba untuk masak nuggets ayam. Habis hangus semuanya. Tapi sebenarnya saya takut dengan percikan minyak,” selorohnya.

“Pernah sekali balik kampung, adik saya nak jalan-jalan keliling kampung, jadi kami berdua naik motor. Alamatnya, kami terbabas dan kaki adik saya terkena ekzos motosikal. Tapi, adik saya langsung tidak menangis, siap boleh gelak-gelak lagi,” katanya.

Rindu ayah
 

Tahun lepas, pertama kali menyambut lebaran sebagai seorang anak seni, Radin beraya di konti. Tugasnya sebagai penyampai radio mengikat kakinya untuk pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga.

Namun, tidak sekali pun anak kelahiran Ipoh, Perak ini mengeluh. Biarpun terpaksa beraya bersama rakan-rakan kerja, namun Radin tetap dapat merasakan perasaan menyambut lebaran bersama yang tersayang.

Malah, jelas Radin lagi, tahun ini juga merupakan tahun kedua dia beraya di konti. Tiada nada sedih, mungkin kerana sudah melaluinya tahun lepas.

“Sedih itu biasalah, kerana orang lain dapat sambut raya bersama keluarga, kita membebel seorang di konti. Tapi, sudah menjadi tanggungjawab. Lagipun, kawan-kawan ada. Kampung pun dekat, habis kerja baliklah,” katanya.

Disogok soalan apakah perkara paling dirindu ketika Aidilfitri, Radin tunduk seakan hiba. Perlahan-lahan kepalanya diangkat dan hanya satu ungkapan terpacul keluar dari mulut lelakinya.

“Ayah,” jawabnya ringkas.

Mengimbau kembali kenangan raya bersama ayahanda tercinta, Radin cuba menutup perasaan sedih dengan celotehnya. 2010, itulah lebaran terakhirnya bersama ayahnya yang telah menghembuskan nafas terakhirnya akibat serangan jantung.

“Raya terakhir bersama ayah merupakan kenangan yang akan kekal dalam memori selama-lamanya. Arwah ayah tidak suka bergambar dan berjalan-jalan. Dia lebih suka duduk di rumah bersama keluarga.

“Namun, tahun itu segalanya berputar 360 darjah. Arwah ayah yang paling teruja untuk sambut raya. Dia yang paling banyak ambil gambar dan ajak berjalan. Selalunya dia yang paling malas.

“Masa itu, kami semua bergembira. Arwah ayah benar-benar suka dan beraya sakan. Mungkin dia tahu, itu lebaran terakhirnya bersama keluarga,” cerita Radin menahan sebak di dadanya.


SUMBER : UTUSAN

Comments