Sekitar tiga tahun lalu, lelaki bernama Radin Amir Affendy pernah diminta pulang daripada sesi uji bakat pengacara televisyen dan pembaca berita gara-gara pendakap gigi yang dipakainya.
Tidak berputus asa, dalam tahun yang sama Radin menjalani uji bakat untuk menjadi penyampai radio Era FM.
Bezanya kali ini, Radin hadir ke uji bakat tanpa pendakap gigi dan dia diterima sebagai keluarga Era FM.
Dalam tempoh hanya tiga tahun nama Radin semakin harum dalam industri penyiaran radio dan kemuncaknya adalah dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular, Mei lalu.
Masih segar dalam ingatan, sekitar tahun 2013 sehingga 2014, saya rajin menghadiri uji bakat pengacara televisyen dan pembaca berita kerana minat. Namun, saya dipandang rendah dan diminta pulang atas alasan ,muka tidak siap. Waktu itu saya masih memakai pendakap gigi.
Sebenarnya, peristiwa itulah yang menjadi titik tolak untuk saya menggandakan lagi usaha. Pertengahan tahun 2014 saya buka pendakap gigi dan menghadiri uji bakat dengan radio Era FM.
Alhamdulillah, saya diterima dan kini sudah masuk tahun ketiga bersama Era FM, ceritanya mengimbas perjalanan awal dalam bidang penyiaran radio.
Itu kisah tiga tahun dahulu, kini selepas menggenggam gelaran Penyampai Radio Paling Popular menewaskan nama besar seperti Johan dan DJ Lin, perjalanan kerjaya Radin lebih mudah.
Selain penyampai radio, Radin juga dikenali sebagai pengacara televisyen dan pelakon. Mengakui perkembangan kerjayanya berlaku begitu pantas, Radin tidak lupa diri, sebaliknya kekal fokus niat asalnya terjun dalam bidang penyiaran iaitu mencari nafkah yang halal untuk keluarga.
Oleh sebab itu, meskipun lebat dengan tawaran lakonan, Radin tetap mengutamakan periuk nasi utamanya di konti radio. Sesekali, dia akan membuat kemunculan cameo seperti dalam drama Mencintaimu Mr. Photographer baru-baru ini.
Saya menjadi penyampai radio dan pengacara televisyen bukan untuk popular dan dikenali ramai, sebaliknya hanya mencari nafkah buat keluarga. Sudah tertulis rezeki saya bermula di radio dan secara perlahan-lahan berkembang ke televisyen.
Peluang menjadi pengacara sebelum ini saya gunakan sebaik mungkin sebagai platform kembangkan bakat. Kini, saya diberi kepercayaan sebagai pengacara utama untuk program PM Live yang bersiaran setiap Isnin sehingga Jumaat, ujar Radin yang menyifatkan populariti sebagai suatu bonus.
Tumpang populariti
Ibarat rumah sudah siap, pahatnya masih berbunyi. Begitu juga halnya dengan Radin, meskipun sudah beberapa bulan majlis anugerah tersebut berlalu tetapi dia tidak dapat lari daripada isu tumpang populariti Ayda Jebat. Banyak pihak mendakwa kemenangannya itu disebabkan oleh gosip cinta antaranya dengan Ayda.
Tidak melatah ataupun menunjukkan tanda amarah, lelaki berasal dari Ipoh, Perak itu sedar bahawa gosip mahupun kontroversi antara penyumbang kepada populariti.
Menurut Radin, cerita positif atau negatif yang ditulis oleh pihak media merupakan publisiti yang besar untuknya.
Saya beratus kali disoal soalan yang sama. Secara peribadi saya tidak boleh menafikan apa yang dikatakan orang ramai. Ayda pernah digandingkan dengan saya untuk slot Super 40 Era. Agak mengejutkan gandingan kami disukai dan program tersebut menjadi trending di Twitter.
Belum pernah ada program radio waktu malam sebelum itu menjadi trending. Oleh sebab itu, jika hendak mengatakan saya tumpang populariti Ayda untuk menang anugerah Penyampai Radio Paling Popular terpulanglah kepada pandangan masing-masing. Apa pun saya menganggap ia sebagai rezeki yang diberi Allah, kata Radin.
Disoal tentang bagaimana mahu mengekalkan momentum kerjanya, tanpa berfikir panjang, tegas Radin, sebagai orang baharu dalam dunia penyiaran radio dia selalu mengamalkan sikap ringan mulut.
Selain itu, dia sentiasa menjaga hubungan dengan orang sekeliling kerana baginya ilmu boleh diperoleh daripada sesiapa sahaja termasuk rakan penyampai radio, artis dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman yang sering datang ke stesen radio.
Saya amat bersyukur dapat bekerja dengan radio nombor satu negara kerana secara automatik sudah mempunyai jumlah pendengar yang ramai. Walaupun begitu, saya tidak boleh berada dalam kedudukan selesa. Saya akui agak tertekan selepas menang anugerah kerana harapan tinggi orang sekeliling.
Menang anugerah tidak bermakna saya yang terbaik dan sudah cukup ilmu. Sebaliknya, perlu banyak belajar memandangkan baru tiga tahun bekerja di konti radio, ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Impak
Ditebak tentang perubahan ketara yang berlaku dalam hidupnya sejak memenangi anugerah berkenaan, balas Radin, rutin hariannya tidak banyak berubah. Masih menjalani pekerjaan yang sama, cuma bezanya dia semakin dikenali ramai dan rezekinya lebih murah.
Jika disoal tentang impak secara drastik yang diterima, saya sendiri tidak tahu kerana masih terlalu baharu. Apa yang boleh saya kongsikan, buat masa ini saya semakin dikenali ramai.
Saya langsung tidak pernah bermimpi dengan apa yang dimiliki hari ini tetapi berkat kesabaran dan usaha tanpa henti, ganjaran pasti ada cuma tiba cepat atau lewat sahaja.
Saya akan bekerja lebih keras kerana bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai, katanya yang aktif menggunakan laman sosial Instagram untuk berinteraksi dengan peminat.
Saat disoal tentang kehidupan peribadi pula, lelaki berusia 27 tahun itu meletakkan usia 30 tahun sebagai sasaran untuk menamatkan zaman bujang.
Walaupun begitu, Radin mengakui dia masih belum mempunyai teman wanita istimewa kerana fokus kepada kerjaya terlebih dahulu.
Baginya, kerjaya lebih penting buat masa ini daripada mencari cinta. Namun, jika sudah tertulis jodoh tiba lebih awal daripada sasarannya, Radin terima dengan lapang hati.
Keluarga selalu bertanya soal teman wanita terutama ibu saya. Saya faham, keluarga pasti inginkan yang terbaik, cuma fokus buat masa ini hanyalah kerjaya.
Bagi saya, usia 27 tahun itu masih muda dan waktu bekerja keras mengumpul harta sebelum berkeluarga, cerita Radin sebelum menamatkan bicara.
SUMBER : KOSMO
Comments
Post a Comment