Radin nak 'mengorat' saya sekadar gurauan - Amira Othman



KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amira Othman, menyifatkan usikan terbuka penyampai radio, Radin, yang kononnya mahu memikat beliau sekadar gurauan.

Amira berkata, orang ramai tidak perlu mengambil serius usikan nakal di laman sosial itu, apatah lagi beliau dan Raden adalah rakan rapat dalam industri.

"Dia bukan 'mengorat' saya saja, tetapi artis lain juga. Dia rajin buat 'pick up line'. Kami tiada apa-apa pun, sekadar kawan-kawan industri.

"Saya harap, tiada pihak yang salah faham pula. Dia memang suka menyakat saya," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single baharu, Mimpi Indah, di sini hari ini.

Menurut Amira, dirinya masih solo dan berharap jodohnya nanti bukan daripada kalangan selebriti memandangkan beliau seorang yang kuat cemburu.

"Kalau boleh, saya nak elak daripada mempunyai teman lelaki daripada kalangan artis kerana saya kuat cemburu.


"Biarlah lelaki itu bekerja di luar industri seni. Apa pun, mama saya kata, perkara yang kita tak suka itulah yang akan kita dapat. Jadi, saya tidak mahu bercakap besar," katanya berseloroh.

Sementara itu, bercakap mengenai Mimpi Indah, kata Amira, lagu ciptaan Hael Husaini yang diterbitkan oleh Edry Abdul Halim itu mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding dua single terdahulu, iaitu Hati-Hati dan Jaga-Jaga.

"Genrenya bagaimanapun tetap lebih kurang sama kerana kami mahu mengekalkan konsep Hati-Hati dan Jaga-Jaga.

"Namun, kami memperlahankan sedikit tempoh Mimpi Indah, ala-ala lagu dodoi, dan atas sebab itu jugalah saya memilih judul Mimpi Indah," ujar Amira.

Dalam pada itu, kata Amira, 24, lagu baharunya mempunyai kekuatan dari segi lirik dan sesuai untuk individu yang sedang melalui alam percintaan.

Katanya, ia juga dapat menggambarkan perasaan seseorang yang merindui kekasihnya sewaktu si dia tiada di sisi.

Bekas peserta Akademi Fantasia 2013 turut mengakui teruja untuk melihat reaksi peminat terhadap single berkenaan.

Ujarnya, peminat pasti meletakkan harapan tinggi terhadap lagu terbabit, apatah lagi dua singlenya sebelum ini mendapat perhatian ramai.

"Saya seorang yang cerewet dalam memilih melodi dan perkara itu membuatkan saya mengambil masa lama untuk mencari lagu sesuai.

"Pada saya, sesebuah lagu yang bagus dapat menaikkan nama seseorang penyanyi. Saya pula memang mementingkan kualiti berbanding kuantiti," katanya.

Sementara itu, menerusi video muzik Mimpi Indah, Amira turut menyelitkan puisi daripada peminat.

Jelasnya, beliau berbuat demikian bagi memberi peluang kepada peminat untuk turut sama terbabit dalam pembikinan video itu.

"Saya dapat banyak kiriman puisi cinta daripada peminat. Tidak sangka ramai yang kreatif dan mempunyai pengalaman dalam percintaan jarak jauh.

"Dalam banyak-banyak puisi itu pula, saya pilih nukilan daripada 'Farddmottidin' yang saya rasa paling bersesuaian dengan lagu ini," ujarnya.

Video berkenaan yang dirakam selama sehari bersama produksi The Malaya turut menampilkan pelakon kacak, Idris Khan, yang dianggapnya cukup bersesuaian dengan jalan cerita diketengahkan.

SUMBER l BERITA HARIAN

Comments