“KAMI hanya kawan” - Radin ulas hubungan dengan atlet terjun negara
Selepas gosip putus cinta dengan pelakon Ayda Jebat sebelum ini, penyampai radio Era FM, Radin Amir Affendy atau lebih mesra disapa sebagai Radin dilihat begitu sibuk merencana kerjaya seninya.
Bukan hanya sibuk di konti radio tetapi juga dengan tugasannya sebagai pengacara TV dan majlis.
Namun dalam kesibukan itu, ramai peminat dan pengikut Radin di laman sosialnya perasan akan keakraban Radin dengan salah seorang atlet terjun negara, Leong Mun Yee apabila sering memuat naik foto atlet kelahiran Ipoh itu di laman instagramnya.
Tidak sekadar itu, Radin turut menulis kapsyen yang ‘manis’ pada setiap foto yang dikongsikan sehingga ada di kalangan para pengikutnya mula mengusik apakah dia mempunyai hubungan yang istimewa dengan Mun Yee.
“Kami sebenarnya dah lama kenal sebelum ini kerana saya banyak mengacarakan majlis-majlis berkaitan sukan yang kebetulannya melibatkan Mun Yee.
“Bila jumpa, mestilah akan ambil gambar dan saya suka kongsikan di Instagram untuk kenangan dan sesekali turut meninggalkan komen pada gambar yang dimuat naik Mun Yee.
“Mungkin disebabkan itulah orang ingat kami ada hubungan istimewa sedangkan kami memang hanya kawan biasa sahaja, ” jelas Radin tersipu malu.
Pun begitu, Radin mengakui cukup selesa berkawan dengan Mun Yee yang disifatkan sebagai gadis yang matang dan tidak ‘memilih bulu’ dalam berkawan.
“Saya kagum dengan pencapaiannya sebagai atlet sukan terjun yang banyak mengharumkan nama negara dan sentiasa mengikuti perkembangannya dengan atlet-atlet lain sebelum ini.
“Tak sangka pula boleh jadi kawan dan ia mungkin kerana sikapnya yang tidak ‘memilih bulu’ dalam berkawan,” jelas Radin mengakui pernah keluar bersama dengan atlet tersebut secara berkumpulan dengan rakan-rakannya yang lain.
Ditanya apakah hadiah istimewa yang diberikan kepada Mun Yee sempena sambutan hari jadinya semalam, Radin hanya ketawa kecil.
“Tak ada apa-apa hadiah istimewa, hanya ucapan saja setakat ini, “ katanya yang ditemui dimajlis pelancaran drama Syurga Yang Kedua petang tadi.
SUMBER : SINAR HARIAN
Comments
Post a Comment