PENYAMPAI radio popular, Radin Amir Affendy atau Radin Era menolak tawaran lumayan sebuah stesen radio swasta untuk bertugas sebagai penyampai mereka.
Perkara itu diberitahu Radin, baru baru ini sewaktu kembali bertugas selepas cuti panjang selama dua minggu.
Radin yang dihubungi, hari ini, mengakui dia bercuti kerana sedang menimbangkan tawaran stesen radio swasta terbabit.
“Saya menerima tawaran menjadi sebahagian ahli keluarga stesen radio swasta terbabit Disember lalu, dan ketika itu kontrak saya bersama Era sudah tamat.
“Saya akui tawaran diberikan memang lumayan. Malah ada pihak mengatakan saya bodoh kerana menolak tawaran terbabit.
“Apapun, selepas memikirkannya kembali saya berasakan tindakan (menolak tawaran) itu wajar,” kata anak kelahiran Ipoh itu.
Bercerita lanjut mengenai keputusan menolak tawaran diberikan, Radin mengambil kira segala sudut adakah ia berbaloi untuk kedua dua pihak.
“Tujuan asal menjadi penyampai radio adalah mencari nafkah membantu keluarga. Saya tidak pernah memikirkan soal populariti.
“Bertugas bersama Era membuat saya relevan, popular dan dikenali. Menerusi Era juga saya dapat mengembangkan bakat dalam bidang saya suka iaitu pengacaraan,” katanya.
Menilai daripada sudut lain kata Radin, dia baru empat tahun bergelar penyampai radio.
Jika dikira dari pengalaman ternyata masih mentah dan banyak lagi perkara perlu dipelajari.
“Bayangkan dengan pengalaman yang kurang, tidak adil sekiranya menerima tawaran stesen radio terbabit hanya semata-mata mengejar wang.
“Saya pasti pihak mereka meletak jangkaan tinggi andai menerima tawaran. Saya takut tidak mampu melakukannya. Sebab itu saya tolak,” katanya.
Radin berkata, andai tawaran diberikan sekali lagi dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Masa itu saya sudah benar-benar matang bidang penyampaian dan industri radio, jadi kemungkinan besar tidak akan menolak.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018
SUMBER : HARIAN METRO
Comments
Post a Comment