KUALA LUMPUR: Ketika keakraban pasangan pelakon Ayda Jebat dan Redza Rosli hangat diperkatakan umum, penyampai radio Era FM, Radin Amir Effendy atau Radin yang pernah dikaitkan dengan penyanyi Pencuri Hati itu masih mampu tersenyum.
Baginya, isu kecewa atau patah hati tidak seharusnya dibangkitkan kerana antaranya dan Ayda tidak pernah menjalin hubungan istimewa.
Biarpun ada yang bersimpati apabila hubungannya dengan Ayda tidak berkembang seperti diharapkan, calon awal kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-30 (ABPBH 3.0) tidak terkilan.
"Kami tidak pernah bercinta, jadi tidak timbul isu saya ditinggalkan apabila Ayda rapat dengan Redza. Saya tumpang gembira, malah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka yang rapat dengan saya, termasuk Ayda.
"Tidak dinafikan, ada peminat yang kasihan dan sedih kerana kononnya Ayda tinggalkan saya. Perkara itu tidak betul kerana kami masih baik. Siapa juga pilihan Ayda nanti, sebagai kawan saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaannya," katanya.
Gosip percintaan mereka mula diperkatakan pada tahun lalu selepas digandingkan dalam segmen Cinta 40 Era apabila Ayda dijemput sebagai tetamu di konti.
Keserasian yang terjalin membuatkan ramai mengandaikan mereka mempunyai hubungan istimewa, namun dinafikan kedua-duanya.
"Kami hanya rakan dalam industri, malah masih bekerjasama dalam projek tertentu. Hujung minggu lalu, saya dijemput mengendalikan acara yang membabitkan Ayda sebagai duta. Kami tiada masalah dan saya berharap, peminat akan terus menyokong kerjaya kami berdua," katanya.
Mengenai pencalonan dalam ABPBH 3.0, Radin yang sudah tiga tahun bersama ERA FM memanjatkan rasa syukur kerana bakat dan kehadirannya mula disedari ramai.
"Saya terkejut, malah tidak menyangka akan berada dalam senarai pencalonan Top 20. Ia sesuatu yang tidak dijangka kerana pesaing saya bukan calang-calang. Masing-masing berpengalaman dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.
"Alhamdulillah kerja keras saya, sama ada di konti dan TV semakin diperhatikan. Saya tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi, tetapi jika ada rezeki, pastinya saya gembira jika mampu membolosi Top 5," katanya yang turut mengendalikan PM Live di Astro Ria yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 12 tengah hari.
SUMBER : BERITA HARIAN
Comments
Post a Comment