Bergelar juara program Penyampai Top Malaysia 2014 anjuran stesen radio nombor satu negara, Era FM membuka peluang kepada Radin mengembangkan bakat dalam bidang penyiaran radio dan pengacaraan.
Selepas enam bulan bersama Era FM, Radin semakin selesa mengemudi segmen Top 40 Era yang dulunya dikendalikan Arif AF.
“Alhamdulillah kehadiran saya menggantikan tempat Aril diterima baik pendengar Era.
“Mereka suka dengan cara saya mengenalikan segmen Top 40 Era sehingga ada pendengar mencari apabila saya bercuti. Saya terharu dan sangat berbesar hati,” katanya.
Bertugas di stesen radio terbaik negara sedikit sebanyak memberikan tekanan apatah lagi dia berdiri sebaris dengan penyampai berpengalaman termasuk Hanif, Ray, Johan dan Dina Nadzir.
“Awal kemunculan memang ada tekanan. Saya masih baru sedangkan yang lain sudah lama dan dikenali.
“Lama-kelamaan saya mula dapat rentak dan semakin selesa di konti. Saya bertuah terpilih menjadi sebahagian keluarga Era FM.
“Tanggungjawab yang digalas ini besar apatah lagi perlu menjaga nama baik stesen. Setiap hari saya perlu tampil dengan idea baru agar pendengar tidak bosan. Peluang ini akan saya gunakan sebaik mungkin,” katanya.
Radin atau nama sebenranya, Radin Amir Affendy, turut menzahirkan rasa syukur kerana rakan penyampai banyak menurunkan ilmu dan melayannya dengan baik.
“Memandangkan saya langsung tidak ada pengalaman, kecut perut apabila ke udara seorang diri. Seniorlah yang mengajar saya dan menurunkan ilmu serta tip.
“Setiap teguran saya terima dengan hati terbuka. Tidak pernah sekali pun terasa hati apabila ditegur kerana daripada kesilapan saya belajar memperbaiki diri. Sehingga hari ini, saya masih bertanya dan belajar,” katanya.
Selain pernah bergandingan dengan Cik Piah mengendalikan segmen Klip Maharaja Lawak Mega 2014, Radin kini mengacara program One Silat Championship di saluran Astro Arena.
Malah lebih menggembirakan sejak tiga bulan lalu dia sudah mempunyai kelab peminat yang diberi nama Official Radin Rangers.
“Saya tak sangka ada pendengar menubuhkan kelab peminat ini. Mereka turut mewujudkan laman sosial sendiri bagi mengemaskini segala aktiviti saya.
“Seronok apabila ada yang menghargai saya. Sebagai orang baru, ini permulaan baik buat saya,” katanya yang menjayakan pelbagai aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan.
Comments
Post a Comment